Kepercayaan kamikaze Kamikaze

Pelajar perempuan sekolah tinggi melambai-lambaikan dahan pokok ceri untuk mengucapkan selamat tinggal kepada para juruterbang kamikaze dalam Pertempuran Okinawa, pada 12 April 1945.

Ramai juruterbang kamikaze yang menawarkan diri mereka sebagai sukarelawan untuk misinya, lazimnya berusia semuda 18 dan 24 tahun. Mereka percaya bahawa mati sambil menumbangkan musuh-musuh Jepun dan Maharajanya ialah kematian yang mulia sekali, begitulah rukun yang diamalkan sejak zaman samurai yang menitikberatkan rasa bertanggungjawab dan ketaatan. Kefahaman ini digelar Giri ("Kewajipan"), iaitu sebahagian tatakelakuan pahlawam Jepun sejak Zaman Pertengahan, iaitu Bushido. Ramai pemuda mengorbankan diri dengan rela hati kerana kepercayaan inilah serta cinta mereka kepada ibu pertiwi merupakan perkara-perkara terpenting bagi mereka. Buku panduan juruterbang tokkōtai menyeru para pejuang agar tidak memejam mata, jika tidak tersasar pula. Dalam detik-detik terakhir sebelum berhempas, juruterbang seharusnya melaungkan seruan "Hissatsu!" (必殺, "Serangan genting!") sekuat hati.[6][7]

Selain kerelaan demi negara, ramai lagi yang berbuat demikian gara-gara tekanan sosial. Sesiapa yang tidak menawarkan diri boleh dianggap sebagai pengecut dan pembawa aib. Terdapat sebilangan juruterbang profesional yang diarah agar melakukan serangan berani mati kerana harus taat kepada arahan dan bukannya demi kehormatan. Salah seorang juruterbang kamikaze terawal, Leftenan Yukio Seki, menulis yang berikut selepas nyaris dipaksa agar menawarkan diri:

Masa depan Japan menjadi tidak tentu jika terpaksa mengorbankan salah seorang juruterbang terhandalnya. Saya tidak akan menyertai misi ini demi Maharaja atau Empayar... (sebaliknya) kerana saya menerima arahan.[8]

Sebelum bertempur, para pejuang menjalani upacara khusus yang mana mereka meminum sake dan memakan bebola nasi, selepas itu dikurniakan pingat dan pedang katana. Mereka memakai cekak rambut yang berlukis matahari terbit, dan sennibari (tali pinggang seribu jahitan) yang dihasilkan oleh seribu wanita yang setiap satunya menyumbangkan satu jahitan.[9] Selalunya, mereka membawa bersama surat ucapan doa yang ditulis oleh saudara-maranya.[10] Mengikut legenda, juruterbang muda yang menjalani misi kamikaze selalu terbang ke arah barat daya dari Jepun melalui Gunung Kaimon yang tingginya 922 meter. Para pejuang berani mati ini berpaling ke belakang untuk memandang gunung itu dan mengucapkan selamat tinggal kepada tanahair. Mengikut satu lagi kisah, para pejuang kamikaze menaburkan bunga-bunga daru udara ketika berlepas untuk misi terakhir mereka. Sesetengah tempat, seperti bukit-bukau berhampiran lapangan terbang Kikajima, dikatakan disaluti timbunan bunga bunga biru yang mekar pada awal bulan Mei ketika itu.[11]

Sebilangan anggota tentera terpenting yang terselamat daripada peperangan mengecam rancangan kamikaze bertahun-tahun kemudian. Saburo Sakai, seorang juruterbang handalan zaman perang berkata:

Kamikaze merupakan serangan mengejut, menurut taktik peperangan zaman lampau kami. Serangan mengejut boleh berjaya sekali, mungkin dua atau tiga kali, tetapi siapalah yang sebegitu bodoh sehingga mengulang-ulang serangan yang sama selama sepuluh bulan? Maharaja Hirohito pasti menyedarinya, dan sewajarnya baginda bertitah agar berhenti."

Rujukan

WikiPedia: Kamikaze http://www.antithesiscommon.com/Issue1/pg4.htm http://www.j-aircraft.com/research/rdunn/hms_aust/... http://www.japanvisitor.com/index.php?cID=359&pID=... http://www.smithsoniannetworks.com/site/smithsonia... http://warbirdforum.com/tokko.htm http://www.williammaloney.com/Aviation/BattleshipC... http://www.williammaloney.com/Dad/WWII/SubmarineLi... http://ww2db.com/other.php?other_id=18 http://www.ww2incolor.com/gallery/movies/kamikaze http://wgordon.web.wesleyan.edu/kamikaze/